Beri ikan itu makan...

Tuesday, 14 February 2012

Gempa bumi kuat gegar Oregon, Amerika Syarikat

KUALA LUMPUR: Gempa bumi kuat berukuran 6.1 pada skala Richter, menggegarkan Pantai Oregon, Amerika Syarikat pada jam 11.31 pagi tadi. 

Menurut satu kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, gempa bumi itu berlaku di 788km barat laut San Francisco, dan 11,471km timur laut Sandakan, Sabah.
Gempa bumi itu tidak membawa ancaman tsunami. - BERNAMA

Monday, 13 February 2012

Kanak-kanak maut dalam kemalangan di Ipoh

IPOH: Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun terbunuh selepas kereta dipandu bapanya terbabit dalam kemalangan di Jalan Kuala Kangsar-Chemor dekat sini, tengah malam tadi. 

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias, berkata mangsa, R Valermarthy, berasal dari Kampung Benggali, Chemor, cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Kemalangan berlaku jam 12 tengah malam ketika kedua-duanya dalam perjalanan dari bandaraya ini menuju rumah bertembung dengan sebuah kereta lain, katanya ketika di hubungi, hari ini.
Azisman berkata, mangsa duduk di bahagian hadapan sebelah penumpang ketika kejadian. 

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat, manakala bapanya dan pemandu kereta lain hanya cedera ringan. - BERNAMA

13 motosikal terbakar dalam dua kejadian berasingan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 13 motosikal hangus terbakar dalam dua kejadian berasingan dipercayai akibat perbuatan khianat, di Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak dan Flat PPR Air Panas di sini, malam tadi. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setapak, Suki Annuar, berkata dalam kejadian pertama kira-kiram jam 12 tengah malam, pihak bomba bergegas ke PPR Seri Semarak untuk memadamkan 12 buah motosikal yang terbakar.
"Bomba tiba di tempat kejadian kira-kira 10 minit kemudian namun api berjaya dipadamkan terlebih dulu oleh penduduk setempat. Dalam tempoh sejam kemudian, sebuah lagi motosikal dilaporkan terbakar di PPR Air Panas, kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian pertama," katanya kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan dan anggaran kerugian bagi kedua-dua kejadian ialah kira-kira RM60,000. - BERNAMA

Murid dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Batu Buruk


KUALA TERENGGANU: Seorang murid darjah dua Sekolah Kebangsaan Ladang dikhuatiri lemas ketika mandi di pantai Batu Buruk di sini petang semalam.
Ahmad Saibi Amir Muslim, 8, sedang mandi bersama dua lagi rakannya apabila kejadian berlaku kira-kira 6.15 petang. 
Pelampung yang digunakannya dikatakan pecah setelah dilambung ombak setinggi dua meter.

Dia sempat menjerit meminta tolong bagaimanapun hanyut dibawa arus deras.
Seorang remaja, Norna Mina Nazrul Zaman, 18, yang sedang mencari remis bersama ibunya tidak jauh dari tempat kejadian telah membaling pelampung kepada mangsa namun mangsa gagal mencapainya.

Dua rakannya selamat dengan berenang ke pantai.

PenolongPengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Terengganu, Mohd Zulkahirul Razali ketika ditemui di tempat kejadian berkata usaha mencari mangsa dilancarkan sebaik sahaja menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu. -- BERNAMA

Virus selesema burung di Indonesia disyaki alami perubahan


JAKARTA: Ciri-ciri berlainan pada beberapa unggas yang mati kerana selesema burung di Indonesia sejak kebelakangan ini telah menyebabkan pihak berkuasa kesihatan di beberapa negeri mengesyaki virus H5N1 itu telah mengalami perubahan.
Ketua Jabatan Penternakan dan Kesihatan Haiwan Jawa Tengah, Whitono, berkata sebahagian daripada unggas yang mati kerana selesema burung kini tidak lagi mempunyai tanda bintik-bintik hitam atau kebiruan pada bahagian badan yang tidak berbulu, sebagaimana yang biasanya. 
Ketua Bidang Kesihatan Haiwan Jabatan Penternakan dan Kesihatan Haiwan Jawa Tengah, Eko Sutarti, pula berkata walaupun belum pasti mengenai adanya virus baru, ciri-ciri unggas yang mati kerana selesema burung, telah didapati berubah, akhbar harian Kompas melaporkan hari ini.

Kini unggas yang mati mendadak tanpa tanda bintik-bintik hitam atau kebiruan itu, juga didapati positif selesema burung.
Pihak berkuasa dan pakar bidang kajian selesema burung tempatan bimbang perubahan itu mungkin disebabkan virus jenis baru yang lebih berbahaya, namun penelitian lebih lanjut diperlukan bagi mengesahkan kemungkinan itu, kata laporan itu. -- BERNAMA

Kelayakan Piala Asia 2013: Malaysia dalam Kumpulan G bersama Korea Selatan, Vietnam

KUALA LUMPUR: Malaysia diundi dalam Kumpulan G bola sepak kelayakan AFC Bawah 22 tahun Piala Asia 2013 bersama Korea Selatan, Vietnam, Myanmar, Taiwan dan Filipina.

Jam bola